KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma sempena Thaipusam selama dua hari bermula 10 hingga 11 Februari ini.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, perkhidmatan percuma itu ditawarkan kepada semua pengguna KTM Komuter Lembah Klang menggunakan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG).
Perkhidmatan tren juga akan beroperasi selama 24 jam bagi tempoh empat hari bermula Ahad.
“Insiatif ini dilakukan bagi memenuhi keperluan penumpang khususnya penganut agama Hindu, pelancong dan orang awam.
“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengatasi kesesakkan lalu lintas serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang mampan,” katanya.
KTMB menjangkakan lebih 500,000 pengguna akan memanfaatkan perkhidmatan dengan peningkatan 10 peratus berbanding tahun lalu dengan kemuncak perjalanan dijangka pada 11 Februari.
Selain itu, 494 perjalanan tren tambahan akan disediakan sepanjang empat hari melibatkan beberapa laluan utama seperti Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves, laluan Batu Caves-Pelabuhan Klang-Batu Caves.
Turut terbabit laluan KL Sentral-Batu Caves-KL Sentral , Batu Caves-Bangi-Batu Caves dan Batu Caves-Sentul dan laluan Batu Caves-Subang Jaya. – WILAYAHKU