Berita

KTMB akan tambah baik garis panduan khidmat tren sewaan khas

- Diterbit 21 Mei 2024 9:20 AM MYT

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (Charter Train) demi kepentingan orang awam dan syarikat itu.

Ini susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’ di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, Khamis lepas.

Dalam kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan pihak penyewa berkenaan telah mematuhi syarat ditetapkan oleh pihaknya.

“KTMB telah menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia telah dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami,” menurut KTMB dalam satu kenyataan hari ini.

“Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,”katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas