BENCANA banjir yang melanda beberapa daerah di negeri Johor sejak 28 Februari lalu telah menyebabkan banyak rumah, barangan berharga, kedai-kedai termasuklah sekolah terjejas teruk akibat ditenggelami air.
Musibah yang melanda warga Johor itu telah mendapat perhatian ramai sehinggakan banyak pihak yang menghulur bantuan daripada pelbagai segi termasuklah usaha memulihkan semula kawasan-kawasan yang terjejas teruk.
Tidak ketinggalan juga Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang berkesempatan turun melawat kawasan-kawasan
terlibat selain melihat keadaan mangsa di sekitar Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.
Semasa tinjauan tersebut, beliau bersama beberapa barisan kepimpinan agensi kerajaan terlebih dahulu menghulurkan bantuan Bakul Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) kepada penduduk Sekolah Kebangsaan Seri Sejati, Sri Medan, Batu Pahat, Johor.
“Lokasi seterusnya saya bersama delegasi bergerak ke Klinik Desa Sri Menanti untuk menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada 360 keluarga merangkumi empat buah kampung di sekitar Sri Medan.
“Selepas itu, saya bergerak menyampaikan sumbangan kepada lima buah sekolah di Mukim Simpang Kiri. Bantuan ini melibatkan kerjasama dengan Yayasan Guru Tun Hussein Onn,” jelasnya melalui hantaran di Facebook.
Sesi lawatan itu turut menyaksikan beliau berkesempatan menyantuni sukarelawan penjawat awam terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan SWCorp yang sedang bertugas di Balai Raya Kampung Parit Yusof.
“Ia merupakan lokasi terakhir sesi lawatan turung padang. Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan sukarelawan penjawat awam yang telah berganding bahu membantu usaha memulihkan semula kawasan terjejas akibat banjir tempoh hari.
“Semoga bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh semua mangsa terlibat di samping memberi semangat baharu kepada mereka dalam menghadapi ujian yang melanda,” katanya.
Terdahulu, sesi lawatan itu turut dihadiri beberapa barisan kepimpinan agensi kerajaan antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Setiausaha Negara Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan lain-lain termasuk wakil pejabat Perdana Menteri. – WILAYAHKU