Berita

KSN cadang semua jabatan kerajaan main lagu Negaraku seminggu sekali

- Diterbit 10 September 2024 6:32 PM MYT

KETUA Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mencadangkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan memainkan lagu Negaraku seminggu sekali bagi menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata cadangan itu antara program dan aktiviti yang berbentuk patriotik boleh dilaksanakan dalam kalangan penjawat awam.

“Lagi kerap lagi bagus. Saya minta Kementerian Perpaduan Negara dapat perincikan lagi perkara ini agar satu Pekeliling tentang Pembudayaan Amalan Patriotisme penjawat awam dapat dikeluarkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara 2024.

Sementara itu, Shamsul turut mencadangkan supaya meningkatkan penghayatan Malaysia MADANI menerusi Modul Latihan Malaysia MADANI yang digerakkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awaam (JPA) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

Beliau berkata begitu juga pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 oleh Kementerian Pertahanan dan AKM.

Shamsul berharap semua jabatan kerajaan memastikan perbelanjaan wang awam secara berhemah.

“Untuk ini, pengawalan sumber melalui amalan penjimatan dan larangan pembaziran perlu dilakukan.

“Justeru, satu pekeliling berkenaan dengan perkara ini perlu diwujudkan dengan mengambil kira elemen pemantauan dan pengiktirafan kepada kementerian yang dapat membuat penjimatan yang ketara.

“Saya minta Kementerian Kewangan agar dapat meneliti perkara ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas