Berita

KSM, UMSKAL sasar lahirkan graduan kebolehpasaran

MUSTAPHA (enam kiri) bersama para pelajar UMSKAL pada Majlis Penutup Program YES! We Are Ready 2023 di Dewan UMSKAL Ahad lalu.
- Diterbit 16 Jun 2023 6:55 AM MYT

UNIVERSITI Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya TalentCorp menganjurkan Program Young Employable Students (YES!) We Are Ready 2023 bagi melahirkan graduan kebolehpasaran.

Penganjuran program itu bertujuan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan termasuk kesedaran tentang prospek kerjaya masa hadapan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ts Mustapha Sakmud menyatakan penghargaan kepada TalentCorp atas usaha mereka dalam memperkukuh ekosistem bakat Malaysia melalui inisiatif yang bertujuan membina graduan yang sedia industri.

“Usaha ini merupakan kaedah intervensi proaktif untuk pelajar dari sekolah ke alam pekerjaan bagi meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran graduan masa hadapan serta dilengkapi dengan kemahiran dalam permintaan oleh majikan,” kata beliau selepas merasmikan majlis penutup program itu di Dewan UMSKAL baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew dan Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Mengulas lanjut mengenai pembayaran elaun kepada pelajar latihan industri, Mustapha berkata perkara tersebut telah dibincangkan dalam kabinet dan akan membabitkan pelbagai pihak.

“Jika semua pihak bersetuju dengan dasar itu pihak kementerian akan mewujudkan akta khusus untuk perkara tersebut.

“Ketika ini, kita di kementerian sedang menyediakan dasar garis panduan dan dalam masa terdekat kita akan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak untuk membincangkan isu ini secara mendalam sebelum sesuatu keputusan dibuat,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas