SEORANG kru kapal tunda yang disyaki jatuh laut semasa sedang bersauh di perairan Pulau Papan semalam telah ditemui lemas pagi tadi di kawasan Jeti Feri Labuan.
Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, operasi CARILAMAT telah diaktifkan sekitar jam 9.40 malam semalam sejurus sahaja menerima maklumat kejadian tersebut dari Pusat Operasi Maritiam, Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Labuan.
“Mangsa Kenneth Anak Saing, 33, dilaporkan hilang setelah gagal dikesan oleh rakannya apabila kali terakhir dilihat pada pukul 6.00 petang pada hari yang sama.
“Kesemua barang peribadi milik mangsa masih berada di atas kapal yang sedang bersauh sebelum menerusikan perjalanan pelayaran ke Miri Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nudin berkata, Bot Peronda Maritim Malaysia diaturgerak ke lokasi kejadian bagi membuat pengesahan dan melakukan pencarian awal mangsa.
“Mangsa ditemui sekitar pukul 7.45 pagi tadi di sekitar 20 meter selatan Jeti Feri Labuan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjutnya. – WILAYAHKU