Berita

KRT Lubok Temiang rangkul tempat kedua Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023

KRT Lubuk Temiang menerima hadiah wang tunai RM8,000 pada Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023.
- Diterbit 17 November 2023 1:20 AM MYT

KAWASAN Rukun Tetangga (KRT) Kampung Lubok Temiang mencipta sejarah apabila diumumkan naib johan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023 bagi Kategori Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik, baru-baru ini.

Pengerusinya, Awangku Sazali Pengiran Salleh berkata kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama KRT Kampung Lubok Temiang malah turut menaikkan nama Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kejayaan ini amat manis bagi kami kerana anugerah ini menjadi rebutan KRT di seluruh negara lebih-lebih lagi KRT kami adalah calon tunggal dari Borneo yang tersenarai dalam kategori itu.

“Sebelum ini Kampung Lubok Temiang meraih beberapa kejayaan antaranya naib johan Anugerah Ilham Desa 2021 peringkat kebangsaan dan johan Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan.

“Jawatankuasa KRT Lubok Temiang sentiasa mengutamakan pengurusan secara teratur selain menganjurkan program-program berasaskan perpaduan kaum dan memperkasakan ekonomi komuniti selari dengan peranan KRT sebagai penggerak kepada aspirasi kerajaan  untuk  memperkasa rakyat,” katanya kepada Wilayahku.

Tambahnya, KRT Kampung Kilan Pulau Akar yang juga mewakili Labuan turut melakar kejayaan apabila mendapat tempat kelima dalam kategori Anugerah Projek Ekonomi Terbaik.

Sebanyak 8,938 KRT seluruh negara menyertai Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023 yang mempertandingkan lapan kategori iaitu Anugerah Jiran Muda Terbaik, Anugerah Jiran Wanita Terbaik, Anugerah Jiran Warga Emas Terbaik, Anugerah Tunas Jiran Terbaik, Anugerah Skim Rondaan Sukarela Terbaik, Anugerah Projek Ekonomi Terbaik dan Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik.

Terdahulu, majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Bangi Avenue Convention Centre, baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas