Berita

Kreativiti tanpa sempadan FDAM 2024

- Diterbit 6 Julai 2024 3:09 PM MYT

Kreativiti tanpa sempadan FDAM 2024

PELBAGAI acara diadakan bersempena Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) 2024 yang diadakan pada hari ini bermula seawal pukul 9 pagi sehingga 10 malam.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata hari terbuka tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya kepada penggiat-penggiat seni akan fungsi persatuan yang bernaung di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini.

“Konvensyen ini dianjurkan untuk menerangkan peranan FDAM sebagai wadah Finas menjaga dan memajukan industri perfileman, penerbitan kandungan digital dan yang paling utama fungsinya sebagai wadah penggiat seni bergelar ‘sutradara’ atau ‘pengarah’.

“Acara-acara yang diatur mempunyai elemen mencerakin isu-isu semasa berkaitan dengan industri perfileman, penggiat seni, hiburan, pendedahan kepada perkara-perkara industri semasa, penyelesaian kepada permasalahan ahli serta penambahbaikan yang perlu ada untuk memajukan industri perfileman selaras dengan slogan persatuan Kreativiti Tanpa Sempadan’,” ujar beliau.

Buat julung kali penganjurannya, Afdlin berkata pelbagai acara telah disusun bagi memeriahkan lagi konvesnyen tersebut bukan sahaja melibatkan pemain industri malah turut dibuka kepada orang ramai.

“Antara pengisiannya adalah dua sesi masterclass iaitu formula filem box office (perkongsian oleh Syafiq Yusof) dan formula filem ‘cult’ (perkongsian oleh Uwei Saari) di mana ia juga bakal menjadi prelude kepada sesi masterclass berbayar yang akan diperkenalkan oleh FDAM kepada orang ramai dengan pengkhususan kepada ahli-ahlinya.

“Selain itu, kita ada sesi townhall, apresiasi filem, reruai promosi atau jualan, business matching di mana ahli-ahli FDAM mengemukakan serta membentangkan idea konten mereka kepada penerbit atau produser yang berminat dan kita juga bakal membuka peluang kepada orang ramai menyertai sesi uji bakat terbuka.

“Di sebelah malam pula, wayang pacak akan diadakan di dataran Finas yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton filem seleksi khas secara percuma,” katanya.

Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Konvensyen FDAM 2024 bertempat di Finas, Hulu Klang, Selangor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas