PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi pengiktirafan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di atas perkongsian amalan terbaik bertemakan Keluarga dan Perubahan Iklim (Families and Climate Change).
Pengiktirafan itu diberikan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 Hari Keluarga Antarabangsa 2024 di New York, Amerika Syarikat pada 15 hingga 16 Mei.
KPWKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pengiktirafan diberikan di atas keprihatinan dalam memperkasakan keluarga melalui pendidikan dan advokasi dalam menangani tindakan iklim secara berkesan.
“Tanpa tindakan drastik, impak perubahan iklim akan menjadi semakin sukar ditangani dan memberi dampak yang besar kepada keluarga. Impak negatif tersebut boleh mempengaruhi aspek kesihatan dan kesejahteraan keluarga melalui peningkatan pencemaran, perubahan cuaca melampau seperti banjir dan kemarau yang mampu mengakibatkan gangguan ekonomi ke atas industri pertanian, kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan ahli keluarga.
“Justeru itu, komponen keluarga telah diambil kira di bawah agenda pembangunan negara (Rancangan Pembangunan Malaysia Kedua Belas RMKe-12) yang bertujuan menangani isu semasa bagi merangsang pembangunan sosioekonomi Malaysia demi kelestarian dan kemakmuran jangka panjang,” katanya.
Kenyataan tersebut turut memberitahu, sempena ulang tahun ke-30 HKA ini, KPWKM melalui LPPKN dengan kerjasama International Federation for Family Development (IFFD), UNDESA dan Doha International Family Institute (DIFI) telah melaksanakan prasambutan HKA pada 28 dan 29 Februari lalu dengan penganjuran Mesyuarat Kumpulan Pakar Rantau Asia (Regional Expert Group Meeting).
Katanya, ia disusuli dengan forum antarabangsa bertemakan Hubungan Keluarga dan Megatrend Antara Migrasi, Perbandaran, Teknologi Baharu, Trend Demografi dan Perubahan Iklim (Families and Megatrends Interlinkages between Migration, Urbanisation, New Technologies, Demographics Trends and Climate Change).
Dalam pada itu, KPWKM berkata pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi menyokong dan mengukuhkan institusi keluarga serta mewujudkan persekitaran yang menyokong perkembangan institusi kumpulan berkenaan.
“Antaranya menerusi penggubalan Dasar Mesra Keluarga yang memberi tumpuan kepada nilai kekeluargaan, Perkhidmatan Sokongan Keluarga seperti kaunseling dan terapi keluarga, Program Pendidikan Keluarga yang menyediakan ibu bapa dengan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan,” ujarnya. – WILAYAHKU