KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti keperluan untuk menggubal satu perundangan yang memfokus kepada kebajikan dan perlindungan warga emas.
Menurut kementerian itu, ini bagi memastikan kesejahteraan golongan tersebut terjamin.
Jelas KPWKM, berdasarkan statistik sehingga September lalu, terdapat 44 orang daripada keseluruhan 1,039 kes warga emas yang dimasukkan ke lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas sebab dipinggirkan keluarga atau pengabaian.
“Mereka terdiri daripada 29 orang lelaki dan 15 orang wanita dan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan.
“Kita telah melaksanakan pelbagai program sebagai langkah mengekang kes pengabaian, kecuaian dan penderaan kepada warga emas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai statistik terkini warga emas terbiar atau dipinggirkan keluarga.
KPWKM menambah, ketika ini penumpuan diberi kepada program yang melibatkan intergenerasi sebagai usaha bagi mengeratkan hubungan antara generasi dan memartabatkan hak warga emas yang perlu dihormati.
“Strategi kelima yang terkandung dalam Dasar Warga Emas Negara (DWEN) iaitu Penglibatan dan Kesepaduan Antara Generasi turut memberi penekanan kepada tindakan-tindakan untuk meningkatkan penglibatan warga emas dalam masyarakat pelbagai umur serta mengeratkan hubungan timbal balik antara generasi.
“Antara program yang dilaksanakan ialah Program Citra Minda Intergenerasi. Program ini merupakan aktiviti tetap yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri (JPWEN) sejak 2018,” katanya.
Katanya, KPWKM juga menyediakan perkhidmatan Talian Kasih bagi membolehkan sesiapa sahaja melaporkan berkaitan kes pengabaian, kecuaian dan penderaan warga emas dengan segera.
“Talian Kasih merupakan talian integrasi bebas tol yang beroperasi 24 jam, 365 hari setahun dan boleh dihubungi di talian 15999,” jelasnya. – WILAYAHKU