Berita

KPT sambut baik tawaran Pakej Rahmah Prabayar Siswa

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 17 Julai 2024 11:55 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik tawaran Pakej Rahmah Prabayar Siswa yang diumumkan Kementerian Komunikasi semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pakej tersebut menawarkan harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.

Tambahnya kerjasama strategik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar mendapatkan liputan komunikasi dan Internet lebih baik semasa sesi pengajian dan pembelajaran.

“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang pembayaran tetapi syarikat telekomunikasi bermurah hati untuk mengurangkan caj kepada mahasiswa.

“Bagi pihak KPT, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Kerajaan, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi terlibat dan semua pihak yang sentiasa cakna dan prihatin untuk membantu mengurangkan beban mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas