Berita

KPT peruntuk RM18 bilion ke arah tranformasi pendidikan negara

- Diterbit 18 Oktober 2024 6:41 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan RM18 bilion ketimbang RM16.3 bilion tahun ini untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, falsafah pendidikan perlu terus diterapkan dalam prakarsa pendidikan tinggi.

“Langkah awal yang dimulakan perlu ditingkatkan dengan lebih gigih lagi. Di antara strategi lanjutan termasuklah peningkatan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penguasaan bahasa-bahasa lain terutamanya Inggeris.

“Universiti perlu pantas memperkenalkan disiplin baharu yang membuka ruang penerokaan pemikiran dan teknologi baharu. Pimpinan universiti dan para ilmuan perlu diberi ruang dan wewenang untuk menggagaskan pembaharuan ke arah kemantapan dan peningkatan mutu.

“Peruntukan keseluruhan RM4 bilion disediakan dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan. GLIC dan GLC turut komited memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan menyarankan agar sektor korporat lebih bermurah hati dan lebih giat menyediakan biasiswa pelajaran sehingga embargo until delivered ke tahap universiti, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

“Kerajaan akan membenarkan perbelanjaan seumpamanya layak untuk potongan cukai.

“Ke arah melahirkan graduan dengan kebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan dana pembiayaan pendidikan berjumlah RM500 juta khusus untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik (STEM) di institusi pengajian tinggi (IPTA),” tambahnya.

Seterusnya, bagi menggalakkan tabungan pendidikan tinggi anak-anak, Anwar berkata kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi.

“Di bawah Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI), kerajaan juga bersetuju meluaskan kriteria pemberian geran padanan sehingga RM5,000 ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000, ketimbang RM4,000 bagi tempoh dua tahun.

“Permodalan Nasional Berhad akan melaksanakan Program Celik MADANI iaitu pembukaan akaun ASB bernilai RM50 secara percuma kepada 100 ribu pelajar baharu yang melanjutkan pengajian peringkat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Belanjawan MADANI Ketiga kekal dengan komitmen meningkatkan mutu institusi pendidikan tinggi.

“Secara keseluruhan RM635 juta disediakan untuk menambah baik prasarana, mengganti peralatan usang dan meluas capaian Internet di semua universiti awam.

“UiTM disediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi melahirkan lebih ramai jurutera E&E mengambil kira pentingnya memastikan penyertaan Bumiputera dalam bidang semikonduktor sebagai sektor berpertumbuhan tinggi negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas