Berita

KPT pandang serius isu gangguan seksual di IPT

- Diterbit 21 Disember 2024 1:20 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memandang serius sebarang isu yang melibatkan mana-mana salah laku dan pelanggaran tatacara dalam kalangan warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Dalam satu kenyataan, KPT berkata laporan kes gangguan seksual yang didakwa melibatkan seorang profesor di Universiti Malaya (UM), pihak universiti juga tidak pernah mengambil ringan laporan sebegini.

“Kementerian dimaklumkan isu ini telah ditangani secara rasmi sejak tarikh aduan diterima dan Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif.

“Semua prosedur serta peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, KPT dan pihak UM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti bersalah melakukan pelanggaran undang-undang dan tindakan tatatertib yang tegas akan diambil.

KPT berkata UM juga mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual, dan langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak.

“Kenyataan media berhubung kes ini turut dikeluarkan oleh pihak universiti sebelum ini.

“Difahamkan, individu yang dikaitkan juga telah membuat laporan polis, dan siasatan kini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

KPT menegaskan sebarang tindakan yang diambil mestilah selaras dengan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata ini kerana langkah yang melanggar tatacara perundangan akan mencabuli proses siasatan yang sedang berlangsung.

KPT menyeru agar semua pihak memberikan ruang untuk siasatan menyeluruh dilaksanakan.

Pada 17 Disember lalu, media melaporkan, Kelab Feminisme UM menggesa pihak pengurusan memperketatkan polisi gangguan seksual selepas insiden berkenaan.

Kelab itu mendakwa gambar berkenaan dicetak dan dipamerkan di sekitar kampus bagi memberi peringatan kepada pelajar lain sebelum ia diturunkan.

Ia mendakwa, beberapa profesor lain cuba untuk melindungi pelaku itu yang juga seorang profesor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas