Berita

KPN sasar wujud 116 KRT progresif jana ekonomi komuniti

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 4 Februari 2024 7:30 PM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 116 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif bagi menjana ekonomi komuniti di seluruh negara bermula April ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata KRT Progresif ialah inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga (RT) bertujuan mewujudkan penggerak komuniti yang mampu menjadi suri teladan kepada KRT lain dan akan dijalankan secara berfasa.

“Di seluruh negara terdapat 8,438 KRT, namun KPN akan memilih 116 KRT Progresif di setiap daerah yang mempunyai potensi dari segi ekonomi.

“Usaha ini adalah bertujuan merancakkan ekonomi dalam usaha memperkasakan KRT Progresif bertepatan dengan aspirasi Rukun Negara untuk membina masyarakat progresif,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini, hari ini.

Aaron berkata KPN turut merancang pembinaan kompleks perpaduan di setiap negeri.

“Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di Kelantan menjadi kompleks perpaduan pertama di negara ini, manakala di Perlis, pembinaannya mula dilaksanakan pada tahun ini dan dijangka siap pada pertengahan 2027,” katanya.

Beliau berkata perkara itu kini dalam peringkat pelaksanaan kertas kerja untuk diperhalusi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas