KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia bakal menganjurkan Majlis Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan di Dewan Songkran Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak pada 11 hingga 13 April ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata Sambutan Perayaan Songkran ini merupakan platform penting bagi memperkenalkan adat resam dan budaya masyarakat Siam kepada seluruh Malaysia.
“Ia sejajar dengan matlamat Kerajaan MADANI dalam membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Malaysia.
“Selain itu, perayaan ini dapat mengeratkan hubungan pelbagai etnik di samping memahami dan memperkasa perpaduan masyarakat Malaysia dengan bersama-sama meraikan perayaan dalam suasana harmoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya Majlis Perayaan Songkran adalah perayaan utama dan penuh bermakna dalam kalendar masyarakat Bumiputera Siam di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baharu dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.
“Sambutan ini juga sarat dengan nilai budaya bagi memperkenalkan tradisi, seni, dan budaya etnik minoriti Siam di Malaysia,” katanya.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini diserikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan tradisional Songkran, pameran budaya dan makanan tradisional, pertunjukan kebudayaan (tarian, seni dan muzik), pertandingan permainan tradisional, aktiviti mandi air (water splashing) dan aktiviti sosial dan kesenian bersama komuniti.
KPN mengajak orang ramai terutama di kawasan berhampiran untuk turut serta memeriahkan sambutan itu, dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh daripada laman sosial rasmi KPN. – WILAYAHKU