Berita

KPN ambil langkah proaktif tingkat keharmonian kaum

- Diterbit 5 Disember 2024 2:37 PM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara telah menggubal Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang merupakan dasar payung bagi meningkatkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

KPN memberitahu pelbagai langkah diambil bagi memupuk keharmonian di antara komuniti agama.

“Menubuhkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang berperanan sebagai platform penting dalam memberikan cadangan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.

“Dalam usaha memperkasakan kefungsian Jawatankuasa HARMONI, mesyuarat yang bersidang pada bulan Ogos lepas telah bersetuju membentuk tiga biro di bawah pengurusan Jawatankuasa HARMONI.

“Pada April 2024, KPN telah melancarkan Inisiatif Harmoni MADANI dengan mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima. Terdapat sembilan (9) program utama yang dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Antaranya Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Jejak HARMONI, Wacana dan Dialog Harmoni, Podcast: Bicara HARMONI dan Dokumentari HARMONI,” ujarnya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

KPN menjawab soalan William Leong Jee Kee (PH-Selayang) berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh KPN bagi memupuk keharmonian di antara komuniti agama dan apakah cabaran
yang dihadapi bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Ujarnya, KPN turut mewujudkan Mediator Komuniti (MK) bagi mengurus isu-isu perpaduan di peringkat komuniti khususnya yang membabitkan isu-isu kejiranan di mana ketika ini kementerian mempunyai seramai 571 MK bertauliah dan terlatih yang bersedia memberikan perkhidmatan secara ‘pro bono’ atau percuma kepada komuniti setempat.

“Pemantauan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat melalui Sistem e-SEPAKAT yang dibangunkan sejak tahun 2010.

Selain itu, KPN bersama-sama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia.

“KPN sememangnya tidak menafikan terdapat pelbagai cabaran dalam mengurus perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini. Sehubungan itu, kementerian akan terus mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan keharmonian rakyat dengan mewujudkan pelbagai tapak integrasi dan mengurangkan jurang perbezaan,” tulisnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas