KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengadakan kerjasama strategik untuk mengoptimumkan kuarters guru tidak berpenghuni sebagai penempatan kakitangan dan anggota agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut KPM, ia antaranya melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan lain-lain agensi di bawah KDN.
“Namun demikian kerjasama ini masih di peringkat awal memandangkan kedua-dua kementerian perlu memperhalusi keperluan kuarters guru tidak berpenghuni yang boleh dioptimumkan sebagai penempatan kakitangan dan anggota agensi di bawah KDN,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KPM menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai perancangan kementerian menangani memanfaatkan semula kuarters guru yang terbengkalai di seluruh negara.
Jelas KPM, pihaknya sentiasa komited dalam usaha menyelesaikan isu-isu berbangkit melibatkan prasarana kuarters guru yang tidak berpenghuni milik KPM di seluruh negara.
Katanya, antara langkah proaktif yang telah diambil oleh KPM adalah melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti yang disyorkan dalam Laporan Kajian Mengoptimumkan Penggunaan Kuarters Guru Tidak Berpenghuni Milik KPM.
“KPM telah menganalisis keperluan untuk menukar fungsi kuarters tidak berpenghuni bagi kegunaan lain, guna sama dengan agensi kerajaan yang lain, membuka sewaan kepada awam dan juga swasta serta pelupusan kuarters yang tidak lagi selamat diduduki dan tiada permintaan diduduki untuk dirobohkan.
“Sebagai contoh sebanyak enam unit kuarters guru tidak berpenghuni di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring, Kuala Nerus, Terengganu telah ditukar fungsi kepada Bangunan Tambahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus pada Jun 2024,” katanya.
KPM menambah, contoh berikutnya ialah sebanyak 40 unit Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) Mengkuang, Pulau Pinang telah dimanfaatkan secara guna sama dengan Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang bagi tujuan penempatan anggota tersebut.
“Bagi kuarters terbiar yang didapati tidak lagi ekonomikal untuk dibaiki, disahkan tidak selamat dan tiada permintaan untuk diduduki, KPM telah melupuskan kuarters tersebut secara syor roboh untuk membendung kerosakan jangka panjang tertakluk kepada peruntukan tahun semasa.
“Hala tuju pengurusan dan penyelesaian isu kuarters guru tidak berpenghuni dan terbiar milik KPM turut dibincangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 November lalu,” katanya. – WILAYAHKU