Berita

KPM susun perancangan pastikan kurikulum persekolahan 2027 dapat dilaksanakan

- Diterbit 6 Disember 2024 11:10 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyusun perancangan dengan menyeluruh dan melibatkan semua bahagian di KPM serta rakan strategik pendidikan bagi memastikan Kurikulum Persekolahan tahun 2027 dapat dilaksanakan.

Menurut KPM, Jawatankuasa Teknikal Pembangunan dan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan ditubuhkan khusus bagi merangka strategi dan program untuk memastikan keperluan untuk pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 disediakan.

“Jawatankuasa ini melibatkan persediaan dari aspek kurikulum, pentaksiran, dasar dan perundangan, perjawatan, bahan sokongan pembelajaran (termasuk peranti untuk guru dan murid), latihan serta infra
dan info struktur,” katanya ketika menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) yang bertanyakan perancangan Kementerian dalam masa tiga tahun ini bagi persediaan guru, ibu bapa dan murid sebelum memperkenalkan Kurikulum Persekolahan Baharu pada tahun 2027 di parlimen semalam.

KPM berkata selain sesi libat urus, jerayawara dan tinjauan, pihaknya turut menggunakan pelbagai saluran media seperti media sosial, media elektronik dan media massa untuk menyampaikan maklumat secara berterusan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai Kurikulum Persekolahan 2027.

“Maklumat juga disampaikan dalam program bersama rakyat seperti Program Madani Rakyat dan Program Tekad Reformasi Pendidikan.

“KPM yakin dengan dasar dan program sedia ada serta perancangan yang diatur dapat membantu guru, ibu bapa dan murid apabila Kurikulum Persekolahan 2027 dilaksanakan kelak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas