KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyambut baik sarananPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan nilangan murid dalam bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menampung keperluan sumber manusia dalam bidang berkaitan.
KPM memberitahu, bagi merealisasikan sasaran dasar 60 peratus (%) murid dalam bidang
STEM, semua sekolah berasrama penuh (SBP) melaksanakan
pakej STEM dengan jumlah murid seramai 18,113 atau 98.86%
daripada jumlah keseluruhan murid SBP.
“Manakala baki seramai
209 orang murid SBP atau 1.14 peratus lagi mengambil pakej
Sains Sosial,” katanya dalam kenyataan.
Tambah KPM, Pakej STEM di SBP adalah seperti pertama, murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi) serta Matematik Tambahan.
“Kedua, murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen
(Fizik, Kimia dan Biologi), Matematik Tambahan, Bahasa Arab,
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah
Islamiah.
“Seterusnya murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi), Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran.
“Selain itu, murid mengambil dua mata pelajaran Sains Tulen
(Fizik dan Kimia), Matematik Tambahan serta Sains Komputer,” katanya.
Ujarnya, tumpuan KPM pada waktu ini adalah untuk meningkatkan enrolmen murid yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.
“KPM akan turut memperkenalkan inisiatif SBP khusus yang
memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan
Vokasional (TVET).
“Kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut akan dipertingkatkan bagi memperkasa pembudayaan STEM di semua jenis sekolah dan di setiap peringkat,” katanya. – WILAYAHKU