Berita

KPM salur RM309.86 juta kepada 4,329 sekolah luar bandar

- Diterbit 5 Disember 2024 2:13 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan yang terdiri daripada 5 jenis Bantuan Persekolahan Umum dan 13 jenis Bantuan Persekolahan Khusus.

KPM memberitahu sejumlah 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2025 telah meningkat ketimbang 2024 menyaksikan KPM akan memberikan komitmen penuh kepada 18 jenis bantuan persekolahan ini.

“Untuk tujuan menjalankan aktiviti atau program, bantuan yang disediakan adalah di bawah Bantuan Persekolahan Umum dimana lima bantuan yang disediakan terdiri daripada Bantuan Geran Perkapita (PCG), PCG Prasekolah, Bantuan Makanan Prasekolah, Bantuan Sukan dan Bantuan Tambahan Persekolahan.

“Jumlah peruntukan penyaluran Bantuan Persekolahan Umum kepada sekolah dilaksanakan berdasarkan enrolmen murid tahun semasa dan kadar yang berkuat kuasa bagi setiap jenis bantuan berkenaan.

“Bagi tahun 2024, KPM telah menyalurkan sejumlah RM1.18 bilion Bantuan Persekolahan Umum kepada 10,360 sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM309.86 juta disalurkan kepada 4,329 buah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar,” ujarnya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

KPM menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad mengenai peruntukan bantuan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah khususnya sekolah di kawasan luar bandar kerana kebanyakan sekolah sering dilihat mencari dana apabila ingin menjalankan sesuatu aktiviti atau program.

Tambahnya terdapat satu lagi inisiatif yang membanggakan dalam memastikan anak-anak luar bandar ini tidak terpinggir.

“Sebagai contoh, baucar buku yang diperkenalkan oleh KPM. Kebanyakan daripada sekolah-sekolah luar bandar yang mendapat penebusan 100 peratus iaitu Sabah, Kedah, Kelantan, Sarawak dan Terengganu adalah antara pejabat pendidikan daerah (PPD) yang telah berjaya khususnya yang melibatkan PPD luar bandar,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas