KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid.
Menjunjung sembah titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyentuh beberapa perkara termasuk isu pendidikan dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15, kementerian berkata, pihaknya terus berusaha memastikan titah baginda dilaksanakan demi pembangunan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI meluluskan pembinaan sejumlah 44 buah sekolah, 11 Pusat PERMATA yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
“Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan KPM.
“Manakala, RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak. Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan musolla di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPM berkata, Agenda Reformasi Pendidikan yang direncanakan sedang giat berjalan di setiap peringkat bagi memastikan pendidikan negara kekal relevan serta dapat menangani cabaran semasa dengan tuntas.
“Ia memberi penumpuan kepada enam fokus utama iaitu digital, bahasa, literasi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah.
“Selaras usaha memperkasakan pendidikan TVET, Kerajaan telah meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta.
“Sejumlah RM1.2 bilion juga diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 orang pelajar,” katanya.
Tambahnya, tumpuan KPM pada tahun 2025 terarah kepada pelan pembangunan pendidikan yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027.
“Program Generasi Madani (GenMADANI) pula dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai wadah untuk memupuk perpaduan serta membina karakter bangsa Malaysia yang beradab, berakhlak dan berintegriti.
“KPM akan terus berusaha untuk memastikan titah Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – WILAYAHKU