Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

KPM lantik 20,171 guru baharu tahun 2023

KUALA LUMPUR, 16 Mac -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini.
 --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Diterbit 27 Jun 2024 2:03 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah berjaya melantik guru baharu seramai seramai 20,171 orang secara lantikan tetap dan Contract of Service (CoS) pada tahun 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata langkah tersebut merupakan pencapaian pelantikan tertinggi pernah dicapai oleh KPM yang dilaksanakan dalam tempoh masa setahun.

“Bagi tahun 2024, urusan pengambilan guru baharu telah bermula iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah mengeluarkan iklan pengambilan guru baharu pada 1 hingga 26 April 2024.

“SPP sedang melaksanakan tapisan ke atas permohonan yang telah diterima dan urusan temu duga dijangka akan bermula pada pertengahan bulan Julai 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di parlimen.

Jelasnya, KPM sentiasa memastikan keperluan guru mengikut opsyen mata pelajaran mencukupi bagi memastikan setiap murid dapat menjalani proses pembelajaran yang optimum.

Menurut Fadhlina, berdasarkan rekod KPM, jumlah guru yang diluluskan bersara pilihan sejak tiga tahun kebelakang adalah di antara 4,300 hingga 6,300 orang.

“Faktor utama yang menyumbang kepada persaraan pilihan sendiri guru adalah disebabkan oleh tidak berminat iaitu sebanyak 72.36 peratus, diikuti oleh faktor keluarga sebanyak 15.21 peratus.

“Selain itu atas faktor kesihatan sebanyak 6.96 peratus, faktor beban tugas sebanyak 3.82 peratus dan faktor masalah peribadi sebanyak 1.64 peratus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas