Berita

KPM guna teknologi AI tingkat kecekapan tangani keciciran murid

- Diterbit 12 Februari 2025 4:49 PM MYT

SISTEM Pengesanan Murid Kementerian Pendidikan (SiPKPM) akan diperkukuhkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan strategi menangani keciciran murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia membantu mengesan pergerakan murid secara komprehensif, termasuk murid yang berisiko cicir, murid cicir dan kanak-kanak yang berisiko untuk tidak mendapat akses pendidikan.

“Sistem ini dapat membantu pihak sekolah mengesan murid secara individu bagi melaksanakan intervensi secara berfokus dan bertindak di peringkat awal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah proaktif yang diambil kementerian untuk mengatasi isu-isu berkaitan kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap kanak-kanak warganegara Malaysia.

Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited dalam memastikan setiap murid menerima pendidikan yang holistik dan inklusif.

Malah katanya, pihak kementerian amat cakna dan tidak akan berkompromi dengan isu kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap murid.

Jelasnya, beberapa langkah proaktif sememangnya telah dilaksanakan KPM bagi tujuan itu termasuk Program Ziarah Cakna yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan, hala tuju pendidikan dan bimbingan kerjaya kepada murid yang berisiko.

“Selain itu, agenda menangani keciciran turut diperkasakan melalui penyediaan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) serta modul kajian kes dan amalan terbaik sebagai panduan kepada guru bimbingan dan kaunseling dalam membantu murid berisiko cicir yang memerlukan bimbingan,” katanya.

Beliau menambah, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Inisiatif #104 memberi tumpuan kepada usaha menangani isu keciciran murid dan meningkatkan akses pendidikan dari peringkat prasekolah hingga menengah atas.

Bagi tujuan ini katanya, KPM melaksanakan program outreach bagi membantu murid cicir kembali ke sekolah.

“Pada tahun lalu, program ini berjaya mengembalikan 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah ke dalam sistem pendidikan.

“Bagi memastikan murid di kawasan luar bandar dan pedalaman terus bersekolah, KPM memperkenalkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan kini memperluaskan konsep ini kepada Sekolah Komprehensif 11 (K11).

“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kadar keciciran murid dalam transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah dan dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4,” katanya.

Katanya, bagi terus memantapkan usaha ini, KPM membangunkan Sistem Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan.

Aplikasi itu jelas beliau, membolehkan pihak sekolah merekodkan sebab ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM, seterusnya membantu dalam merangka strategi intervensi yang bersesuaian.

“Seperti sedia maklum, kemiskinan merupakan salah satu faktor menyumbang kepada keciciran. Dalam usaha membantu murid yang kurang berkemampuan, sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan telah disediakan oleh KPM, merangkumi 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum.

“Bantuan yang diberikan ini bermatlamat untuk membantu murid yang berisiko daripada tercicir,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KPM menyediakan akses pendidikan digital melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Langkah ini menurutnya, merupakan sebahagian daripada reformasi pendidikan yang dilaksanakan KPM bertujuan membolehkan murid menerima akses kepada bahan pembelajaran secara digital, tanpa mengira lokasi mereka.

“Kesemua usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu keciciran, dan seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa isu keciciran dan akses pendidikan merupakan non-negotiable issue yang tidak akan dikompromi oleh KPM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas