Berita

KPM akan pastikan sekolah selamat daripada gejala buli

- Diterbit 6 November 2024 7:12 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memastikan semua sekolah adalah tempat selamat bagi semua pelajar daripada berlakunya gejala buli.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata peringatan supaya semua sekolah menangani isu buli juga akan terus dibuat dari semasa ke semasa.

“(KPM) tidak kompromi isu buli. Penegasan telah beri berulang kali penegasan ini sifatnya untuk memastikan sekolah adalah benar-benar tempat selamat,” katanya pada sidang medianya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Pada 1 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengurusan di semua peringkat pendidikan perlu mengambil tanggungjawab menghentikan budaya buli dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata perlakuan buruk sedemikian bukan sahaja dikesan berlaku di peringkat pendidikan tinggi malah di sekolah rendah dan menengah.

Anwar juga menegaskan kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan budaya buli yang sudah sistematik dalam negara ini khususnya dalam bidang pendidikan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata sebarang aduan yang dibawa kepada pihak berautoriti akan disiasat oleh pihak tersebut.

Beliau berkata pada masa sama garis panduan menangani isu buli akan diikuti.

“Semua proses berdasarkan garis panduan dan juga proses melalui pihak berautoriti.

“Sekiranya ada aduan-aduan dibawa ke pihak autoriti jadi penegasan itu saya fikir akan sentiasa ulang dan program-program untuk memastikan isu buli dapat ditangani di semua peringkat khususnya di institusi pendidikan bawah KPM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas