KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di atas penganjuran Hari Cuci Malaysia 2024: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day pada Sabtu lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerima tiga sijil MBOR daripada Ketua Pegawai Eksekutifnya Christopher Wong sempena program yang berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan 649 lokasi di seluruh negara itu.
Tiga rekod baharu MBOR adalah Largest Simultaneous Participation in A Gotong Royong iaitu penyertaan paling ramai dan serentak seluruh negara, Heaviest Solid Waste Collected in A Day (kutipan sisa pepejal terberat) dan Longest Non-Stop Gotong Royong Cleanup Programme iaitu tempoh masa gotong-royong paling lama iaitu 12 jam.
Kor Ming merakamkan penghargaan kepada semua jentera dan pihak yang terlibat dalam penganjuran Hari Cuci Malaysia bersempena World Clean Up Day yang bertujuan memupuk budaya kebersihan.
“Program ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan Madani yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat sebagai tonggak utama.
“Dengan tempoh masa dan penyelarasan yang singkat, kita bersama-sama dapat memusatkan jentera dan operasi pelaksanaan di semua peringkat bagi mencapai sasaran yang disasarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sijil MBOR Sempena Hari Cuci Malaysia: Pembersihan Mega Seluruh Negara 2024 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau berkata Hari Cuci Malaysia akan dijadikan sebagai acara tahunan dan salah satu agenda kementerian yang akan dilaksana pada Sabtu terakhir bulan September.
“Maka saya ingin umumkan Hari Cuci Malaysia pada 2025 akan jatuh pada Sabtu terakhir bulan September,” katanya. – WILAYAHKU