Berita

KPKM teliti cadangan pembekalan input pertanian secara persaingan terbuka

- Diterbit 26 November 2024 11:06 AM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti cadangan bagi pelaksanaan pembekalan dan penghantaran input pertanian bersubsidi secara persaingan terbuka.

Menurutnya, melalui sistem persaingan terbuka itu, semua pengilang baja termasuk pihak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan mempunyai peluang yang sama untuk menyertai tender terbuka sekiranya diiklankan nanti.

“Pembekalan input pertanian bersubsidi kepada pesawah pada masa ini adalah dilaksanakan oleh pembekal tunggal yang telah dilantik oleh kerajaan iaitu NAFAS.

“Pelantikan ini adalah berdasarkan pengalaman luas NAFAS dalam pembekalan dan pengedaran input pertanian bersubsidi sebelum ini,” jelas kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KPKM menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai pendekatan baharu kementerian untuk mengelak monopoli dalam pembekalan baja subsidi kerajaan.

KPKM menambah, NAFAS juga mempunyai rangkaian organisasi pembekalan yang lengkap sehingga ke peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebagai jentera di lapangan dan merupakan stokis untuk pembekalan input pertanian tersebut.

“KPKM mengambil maklum akan cadangan bagi mengelakkan monopoli dalam pembekalan baja bersubsidi oleh kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas