Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

KPKM sasar 110,000 golongan petani terima BUDI Madani Agro-Komoditi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Jun 2024 9:30 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan 110,000 golongan petani, pesawah, penternak dan pengusaha akuakultur di Semenanjung Malaysia akan berdaftar melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro bagi melayakkan mereka menerima Skim BUDI Madani Agro-Komoditi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata berdasarkan rekod semasa, seramai 240 ribu kumpulan sasar sektor pertanian dijangka terkesan dengan penyasaran semula subsidi diesel.

“Bagi mengurangkan keciciran dalam bantuan subsidi diesel bersasar, kerajaan menyediakan peruntukan khusus dengan memberikan bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan melalui BUDI MADANI Agro-Komoditi kepada golongan petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang layak.

“Bagi tujuan tersebut, individu atau pertubuhan perlu berdaftar dengan KPKM melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro dan julat pendapatan kasar tahunan daripada nilai jualan hasil pertanian daripada RM50,000 hingga RM300,000 dijangka akan menerima bantuan tunai tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di parlimen hari ini.

Jelas Mohamad, seramai 15,000 nelayan tidak terkesan dengan penyasaran semula subsidi diesel kerana kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.

Mohamad berkata bagi syarikat yang mempunyai kenderaan pengangkutan darat yang berdaftar seperti lori rigid hasil pertanian dan lori rigid kandang haiwan, pemilik boleh membuat permohonan fleet card melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk mendapat harga subsidi diesel pada RM2.15.

“Kerajaan juga menyediakan peruntukan tambahan kepada pesawah susulan penyasaran semula subsidi diesel dengan menaikkan kadar insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar per musim dan memperkenalkan insentif penuaian RM50 per hektar per musim.

“Dijangka seramai 110,000 pesawah akan menerima manfaat daripada insentif pembajakan dan penuaian,” katanya.

Tambah beliau, KPKM akan sentiasa mengadakan libat urus dengan kumpulan sasar untuk menambah baik pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan tiada golongan yang tercicir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas