KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berunding dengan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) untuk menyemak pelarasan harga baharu beras putih import (BPI).
Menurut kementerian itu, ia bagi membolehkan pengguna dapat memperoleh beras import pada harga yang berpatutan.
“Ia juga bertepatan dengan pengukuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KPKM menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai kenaikan nilai ringgit dan penurunan harga beras import.
KPKM memberitahu, susulan langkah kerajaan India menarik balik sekatan eksport beras putih bukan basmati baru-baru ini, harga beras di pasaran global telah menunjukkan penurunan.
Dalam pada itu jelas KPKM, dalam usaha memastikan kelangsungan industri padi beras negara, pihak kementerian giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras.
Katanya, antara langkah diambil adalah pemantapan tatakelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam BERNAS.
“Seterusnya mewujudkan peraturan baharu larangan percampuran beras putih tempatan dengan BPI.
“Pelaksanaan reformasi itu juga melibatkan kajian daya saing struktur harga padi dan beras,” katanya.
Tambahnya, KPKM akan melaksanakan penggabungan penguat kuasa di bawah kementerian bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan serta reformasi pentadbiran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS),” jelasnya. – WILAYAHKU