Berita

KPKM masih kaji harga beras yang sesuai

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 November 2024 12:20 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) masih mengkaji harga beras yang sesuai.

Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata pihaknya telah membentangkan penyelesaian untuk harga beras yang sesuai.

“Harga beras masih belum selesai. Saya ada solution sudah bentang dalam NACCOL tetapi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Mohamad Sabu) masih buat kajian.

“Cadangan saya masih valid untuk diketengah,” katanya pada sidang medianya.

Beliau juga berkata cadangan Beras Madani RM30 masih kekal dan kaedahnya akan dimaklumkan nanti.

“Kita jangan lepas pelancaran Jualan Termurah Madani (JTM) 7 Disember ini.

“Buat masa ini selepas beras import dari Pakistan dulu,” katanya.

Sebelum ini Mohamad Sabu berkata harga siling beras tempatan perlu disemak semula dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan dan pergerakan harga beras putih dunia.

Beliau berkata harga maksimum beras putih tempatan (BPT) ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak 2008 lagi bagi memastikan rakyat mendapat harga berpatutan susulan peningkatan mendadak harga makanan itu di pasaran global.

Namun, katanya, selepas 16 tahun, harga maksimum beras berkenaan belum lagi disemak walhal harga jualan BPT adalah berkait langsung dengan harga belian padi.

Akhir tahun lalu, Pengilang Beras Malaysia memberi jaminan mereka akan meningkatkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan sekiranya harga siling BPT dapat dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram.

Ini adalah susulan langkah kerajaan yang akan meneliti semula harga siling BPT dinaikkan dalam usaha menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas