Berita

KPDNHEP sedia sembilan saluran aduan transaksi dalam talian

- Diterbit 12 November 2020 4:15 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan sembilan saluran aduan transaksi dalam talian bagi membanteras penipuan ekoran trend pembelian dalam talian kini meningkat dengan mendadak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNHEP Maisarah Mohd Baidzowi berkata pengguna boleh merujuk aduan transaksi mereka kepada KPDNHEP menerusi portal e-Aduan di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my, aplikasi Ez-ADU, menghubungi talian hotline di 1-800-886-800 dan e-mel kepada [email protected].

Selain itu, beliau berkata KPDNHEP turut menyediakan saluran aduan menerusi applikasi WhatsApp di nombor 019-279 4317, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), Bilik Gerakan Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, menulis surat kepada KPDNHEP atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP.

“Kementerian mewujudkan saluran aduan secara dalam talian ini bagi mengurangkan pertemuan secara fizikal atau bersemuka antara petugas Pusat Pengurusan Aduan Pengguna di kementerian dengan orang awam.

“Usaha ini bagi memastikan urusan aduan berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika ditemu bual dalam slot ‘Jendela Fikir’ terbitan Bernama Radio bagi topik Urus niaga Dalam Talian: Bijakkah Anda? di Wisma Bernama di sini.

Mengulas lanjut, Maisarah berkata sejak PKP dikuatkuasakan, aduan berkaitan transaksi dalam talian telah meningkat 145.6 peratus atau 8,263 aduan bermula 18 Mac hingga 31 Okt berbanding hanya 3,364 aduan dalam tempoh sama pada 2019.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 97.1 peratus atau 8,026 aduan yang dibuat.

Maisarah berkata antara aduan berkaitan transaksi dalam talian paling tinggi diterima pihaknya ialah pengadu tidak menerima barang atau perkhidmatan yang telah ditempah.

Ini disusuli aduan berkenaan barang atau perkhidmatan diterima tidak seperti yang ditawarkan, kata beliau.

“Bagi situasi barang atau perkhidmatan ditempah tidak diterima pengadu, yang terdapat elemen penipuan, tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuklah melibatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas