KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti semua asas permohonan dan rayuan berkaitan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kesemua permohonan dan rayuan tersebut akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.
Menurut Armizan, susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel 10 Jun lalu, beberapa pihak telah mengemukakan permohonan terus kepada KPDN berkaitan penambahbaikan SKDS.
“Antara syor dikemukakan adalah mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak mennikmati subsidi disesel di bawah SKDS 2.0.
“Kemudian, mempertingkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Kastam Diraja Malaysia.
“Jawatankuasa Rayuan akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri,” ujarnya.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini memaklumkan, syarikat yang ingin memohon diesel bersubsidi SKDS 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan MOF.
Menerusi SKDS 2.0 ketika ini hanya membabitkan 23 kategori kenderaan layak beroperasi di Semenanjung iaitu antaranya kenderaan jenis Lori Rigid – Kargo Am, Penggerak Utama, Lori Rigid – Refrigerated, Lori Rigid – Tangki Tepung, Lori Rigid – Luton/Kotak, Window Van, Lori Rigid – Tangki Air dan Panel Van.
Jenis kenderaan lain yang turut disenaraikan ialah Lori Rigid – Minuman Botol, Lori Rigid – Curtainsider, Lori Food Catering, Lori Rigid – Hasil Pertanian, Lori Tangki Rigid – Minuman, Lori Rigid – Kandang Haiwan, Semi – Panel Van.
Selain itu, Lori Rigid – Kombinasi, Bas Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid – Open Platform, Van Perkhidmatan Bergerak, Bas Food Catering, Van Food Catering, Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak dan Lori Rigid – Sampah. – WILAYAHKU