Berita

KPDN tangani kegiatan manipulasi pasaran

- Diterbit 18 Disember 2024 6:35 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggunakan dua akta utama bagi mengawal keadaan pasaran iaitu Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (memberi kuasa kepada kementerian untuk mengawal aktiviti pencatutan harga) dan Akta Kawalan Bekalan 1961, (membolehkan kementerian mengawal bekalan barangan penting di pasaran).

KPDN memberitahu, dalam situasi terdapat ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan, seperti ketika musim perayaan, kementerian melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebagai langkah intervensi untuk mengawal harga barang keperluan.

“Bagi kawasan pedalaman yang mengalami peningkatan kos pengangkutan, kementerian melaksanakan Program Penyeragaman
Harga bagi memastikan harga barang kekal stabil.

“Selain itu, bagi barangan kawalan yang tinggi permintaan seperti gula atau minyak masak paket, kementerian menghadkan jumlah pembelian untuk memastikan bekalan mencukupi,” ujarnya pada sesi pertanyaan lisan Dewan Negara.

KPDN menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar berkenaan kejayaan KPDN dalam mengawal kenaikan harga barang dan kegiatan manipulasi pasaran.

Tambahnya langkah menangani manipulasi pasaran, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berperanan memastikan tidak berlaku pakatan harga atau salah guna kedudukan dominan.

“Kementerian akan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang persaingan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas