KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas empat buah premis berasingan, masing-masing tiga buah premis di Petaling Jaya, Selangor manakala sebuah lagi premis di Kepong, Kuala Lumpur kerana menjual cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan pada 9 Mei lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata Operasi bersepadu yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama KPDN Selangor dan KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu adalah hasil aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDN.
” Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 153 keping cermin hadapan kenderaan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
“Kesemua cermin hadapan kenderaan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200.
“Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan dua orang individu lelaki, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, berumur 20 tahun dan 31 tahun untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 815 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata jika disabitkan kesalahan, jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.
“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua.
Tambah Azman, bagi yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Azman berkata syarikat tersebut akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.
“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi,” katanya.
Tegas Azman, pihaknya memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya berkaitan barangan alat ganti kenderaan seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli alat ganti kenderaan selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan mengancam keselamatan pengguna itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan boleh melaporkan kepada pihak KPDN bersama butiran yang lengkap dan tepat melalui saluran WhatsApp ditalian 019-848 8000 / 019-279 4317 atau melalui Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800; dan
Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya. – WILAYAHKU