KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal pada 10 Januari 2025.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bermula kira-kira pukul 1 tengah hari itu adalah hasil aduan yang telah diterima oleh pihak JAKIM dan tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk roti sandwic yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Hasil maklumat awal, premis merupakan sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk roti sandwic serta menggunakan penandaan logo halal JAKIM yang disyaki tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak JAKIM dan logo halal yang dilekatkan pada produk roti sandwic tersebut ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan telah menjual perniagaannya kepada syarikat yang diserbu.
“Sijil pengesahan halal tersebut juga disahkan telah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Azman, hasil serbuan, pihaknya telah menyita pelbagai jenis roti sandwich, sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan.
“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda bagi syarikat, Didenda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM500,000 dan bagi individu didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.
“Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Azman berkata pihaknya memberikan amaran kepada semua pihak yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuatkuasa serta memastikan kesemua produk dan perkhidmatan yang dihasilkan memenuhi standard halal yang telah ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan di bawah perundangan berkaitan.
“Kesalahan seumpama ini amat serius serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna terutama yang beragama Islam.
“Selain daripada tindakan di bawah pensijilan halal, KPDN juga akan menghantar sampel sandwic tersebut ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwich tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata isu penutupan premis-premis di sebuah universiti awam adalah tindakan yang diambil oleh sendiri pihak berkenaan dan tidak melibatkan arahan daripada KPDN.
“Pengguna juga disarankan untuk tidak mudah terpedaya serta lebih berhatihati dalam memilih produk yang mempunyai sijil halal yang sah. Pastikan sijil halal tersebut adalah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa berwibawa.
“Maklumat dan aduan berkaitan halal boleh disemak di Portal Halal Malaysia melalui laman sesawang www.halal.gov.my,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu halal juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak KPDN melalui saluran WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN; http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – WILAYAHKU