KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang, kata Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata kajian semula itu bagi mengemas kini perundangan sedia ada.
“Ia meliputi Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 selaras dengan perkembangan pesat industri e-dagang.
“Kajian Semakan Semula Perundangan e-dagang yang dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4 RMK-12) ini telah bermula pada April 2024 dan dijangka selesai pada Mac 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan TikTok Shop Seller Summit 2024.
Armizan berkata setakat 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini daripada 30,721 aduan yang diterima KPDN, 7,243 atau 23.57 peratus adalah melibatkan transaksi dalam talian.
“Trend peningkatan tersebut berlaku mungkin disebabkan faktor peningkatan pembeli dan penjual dalam e-dagang.
“Namun apa pun keadaannya, tanggungjawab kita di KPDN adalah untuk address apa-apa aduan dan itu sebab kita mahu dengan adanya kerangka perundangan yang lebih komprehensif, maka hak dan kepentingan semua pihak iaitu pengguna dan penjual dapat kita sama-sama pelihara,” katanya.
Dalam pada itu Armizan berkata sebagai kementerian peneraju Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), salah satu inisiatif yang diambil KPDN untuk menggerakkannya adalah melalui kaedah dalam talian.
Pada masa sama Armizan berkata program itu akan menyasarkan seramai 8,000 usahawan tempatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang akan meliputi 300,000 stock keeping unit (SKU).
“Sebagai langkah promosi pula, KBBM melalui TikTok Shop akan menyediakan baucar diskaun ke atas barangan yang terpilih dan penghantaran percuma kepada pengguna turut diberikan.
“Selain itu program latihan atau bengkel berkaitan keusahawanan akan diadakan kepada pengusaha-pengusaha yang mengambil bahagian dalam kempen bersama TikTok Shop ini,” katanya. – WILAYAHKU