Berita

KPDN perluas Program Jualan Rahmah Madani di semua IPT

Foto: Facebook Armizan Mohd Ali
- Diterbit 19 November 2024 3:21 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ke semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata program dinamakan PJRM@Kampus itu akan bermula Januari depan secara berperingkat.

“Ini bertujuan untuk memperluaskan kumpulan sasar penerima manfaat kepada mahasiswa-mahasiswa di IPT.

“Saya memberi mandat kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) untuk mengesyorkan mekanisme pelaksanaan yang sesuai kepada KPDN dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024, di Residensi dan Hotel Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Mengulas lanjut, Armizan berkata KPDN akan perkasa GPS sebagai rakan strategik pihaknya untuk mengemukakan syor pandangan tentang kaedah, mekanisme terbaik dan barangan yang sesuai untuk dijual dalam PJRM yang akan dilaksanakan di kampus.

Beliau berharap dengan adanya suara daripada kumpulan sasar mahasiswa sendiri, PJRM@Kampus dapat berlangsung dengan berkesan dan mencapai objektif.

“Projek rintis juga akan dilaksanakan di beberapa IPT terlebih dahulu bagi melihat sambutan dan penglibatan mahasiswa.

“Keutamaan akan diberikan kepada IPT yang ada penggerak kita iaitu GPS, kerana mereka akan menjadi barisan hadapan untuk memastikan pelaksanaan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata kekerapan pelaksanaan PJRM@Kampus akan dibincangkan berdasarkan pembahagian peruntukan Inisiatif Payung Rahmah bagi PJRM sedia ada.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah antara penambahbaikan KPDN dalam memanfaatkan peningkatan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Belanjawan 2025 Oktober lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas