Berita

KPDN periksa 62 stesen minyak seluruh KL, elak pencatutan harga

- Diterbit 11 Jun 2024 2:38 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) memaklumkan sebanyak 62 buah stesen mintyak telah diperiksa di seluruh Kuala Lumpur sepanjang Ahad dan Isnin lepas.

Pemeriksaan dijalankan berikutan perubahan harga diesel tanpa subsidi pada harga RM 3.35 seliter di stesen-stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia bermula pukul 12 malam 10 Jun lepas.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin dalam satu kenyataan berkata seramai 35 pegawai dan anggota penguat kuasa telah ditugaskan untuk membuat pemeriksaan dan rondaan di stesen minyak seluruh Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan ini adalah untuk memastikan stesen-stesen minyak tidak menjual diesel melebihi harga kawalan sebelum pukul 12.00 tengah malam 10 Jun.

“Sekiranya kesalahan dikesan, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua 62 buah stesen minyak di seluruh Kuala Lumpur telah diperiksa dan tidak menemui sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Jelasnya, stok semasa bekalan diesel juga mencukupi bagi kesemua stesen minyak dan tiada berlakunya stock out.

“Secara keseluruhannya, pemilik stesen minyak menyambut baik pengumuman perubahan harga berdasarkan harga semasa pasaran dan akan memberikan kerjasama yang penuh dari semasa ke semasa kepada pihak kerajaan.

“Manakala harga yang dipamerkan di stesen-stesen minyak adalah harga terbaru bagi diesel iaitu RM3.35 seliter selepas pukul 12.00 tengah malam pada 10 Jun,” jelasnya.

Tegasnya, jika terdapat pengumuman perubahan harga bagi diesel oleh Kementerian Kewangan, pemeriksaan dan rondaan akan dilakukan bagi memastikan stesenstesen minyak tidak menyeleweng barang kawalan (diesel) dengan mana-mana cara seperti menutup stesen minyak; kehabisan bekalan minyak diesel (stock out); jualan bersyarat; elemen pam rosak; enggan menjual; atau menyorok bekalan.

“Bagi kesalahan penyelewengan barang kawalan, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa di bawahnya.

“Selain itu, siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

Ariffin menegaskan, penguatkuasaan juga akan dijalankan di bawah Ops Kesan 2.0 untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga brang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen-stesen minyak.

“KPDN akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya.

Beliau turut memaklumakn orang ramai boleh mengemukakan sebarang maklumat dan aduan berkaitan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan aduan caj, harga serta bekalan.

“Saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 disediakan selain aplikasi WhatsApp 019-279 4317/ 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat talian 1-800-886-800; dan aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

“Pihak KPDN WPKL memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan manipulasi harga serta caj perkhidmatan sehingga menyebabkan berlakunya pencatutan berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas