KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memperhebat aktiviti penguatkuasaan melalui kuasa perundangan yang diperuntukkan bagi mengawal, menyelia dan memantau ke atas harga barangan yang ditawarkan kepada pengguna.
Menurut kementerian tersebut, untuk itu pihaknya komited dalam mengekang aktiviti pencatutan dan anti-persaingan dalam pasaran dan seterusnya membanteras aktiviti kartel melalui perundangan.
Jelasnya, ia melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961; Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011; Akta Persaingan 2010; Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan pelbagai operasi yang telah dan sedang dilaksanakan.
“KPDN juga terus melaksanakan pemantauan harga barang di seluruh negara melibatkan hampir 1,600 premis yang merangkumi enam kategori barangan iaitu barangan basah, barangan kering, barangan berbungkus, makanan dan barangan bayi, barangan kebersihan serta minuman
“Sekiranya terdapat kenaikan harga yang mendadak dan tidak munasabah, perkara tersebut akan segera disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KPDN menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai inisiatif kementerian untuk mengurangkan kos sara hidup, terutama harga makanan asas yang terus meningkat.
KPDN menambah, pihaknya telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat termasuk memastikan harga makanan, barangan dan keperluan asas kekal stabil.
Antara inisiatif tersebut katanya adalah melaksanakan Kawalan Harga Barangan Bersubsidi bagi RON95, diesel (bagi sektor yang layak), LPG domestik dan minyak masak polibeg 1kg.
Katanya, selain itu melaksanakan Kawalan Harga Tanpa Subsidi bagi gula pasir putih bertapis dan minyak masak kemasan botol.
“Kita juga mempergiatkan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM). Pada tahun lalu, sebanyak 12,260 PJRM dilaksanakan dan sebanyak RM155.04 juta dibelanjakan sebagai subsidi kepada rakyat. Pada tahun ini, peruntukan PJRM ditingkatkan kepada RM252 juta.
“Selain itu mengadakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebanyak enam kali pada musim perayaan utama iaitu pada Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan Krismas,” katanya.
KPDN juga jelasnya, menggerakkan Program Pengedaran Barang Perlu dengan tahun lalu peruntukan RM225 juta diperoleh untuk melaksanakannya di 203 zon meliputi 854 kawasan pengedaran dan 1,780 Point of Sales.
Pada tahun ini jelasnya, peruntukan program ditingkatkan kepada RM250 juta untuk diperluaskan ke kawasan baharu di Magandai, Kota Marudu dan Nanga Pelawan, Bintulu dan lain-lain.
“Pada Disember 2024, pergerakan inflasi kekal stabil malah semakin mereda pada kadar 1.7 peratus lebih rendah berbanding 1.8 peratus pada November 2024.
“Ini adalah bukti usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan berkesan dalam mengawal kenaikan harga yang mendadak termasuk harga makanan, barangan dan perkhidmatan asas kepada rakyat,” katanya. – WILAYAHKU