KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan telah berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan barang kawalan disyaki diesel di sebuah stor tidak bernombor di sini, pada petang Isnin.
Menurut Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, hasil serbuan Ops Tiris mendapati pemilik stor di lokasi tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
” Pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita lebih kurang sebanyak 44,000 liter minyak dipercayai diesel di dalam dua kenderaan yang mempunyai tangki penyimpanan yang diubahsuai , dua buah kontena berisi minyak disyaki diesel berserta alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM94,600.00,” katanya.
” Seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang dipercayai pemilik di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Junaidah, tindakan lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
” Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana mengalihkan barang kawalan dari tempat yang dilesenkan.
” KPDN Labuan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Wilayah ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya lagi. – WILAYAHKU