Berita

KPDN panggil 10 syarikat umum kenaikan harga

- Diterbit 14 Jun 2024 12:04 PM MYT

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan Notis Bertulis (NB) memanggil 10 syarikat yang telah mengumumkan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“10 syarikat berkenaan terdiri daripada sektor pengangkutan (3 syarikat), sektor bahan binaan (3 syarikat), sektor makanan dan minuman (2 syarikat) serta sektor sewaan jentera (2 syarikat).

“Manakala, dua syarikat telah dipanggil semalam dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.

“Syarikat yang telah dikenal pasti ini akan diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan syarikat terbabit untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Armizan, melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan manakala enam syarikat lain mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

“Setiap syarikat akan diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan, barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

“Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut,” ujarnya.

Armizan menegaskan amaran diberikan kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan kerajaan.

“Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh pihak kementerian terutamanya di bawah Akta 723,” tegasnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas