KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops GASAK 2025 (Gas Memasak) bagi membanteras penyelewengan subsidi gas petroleum cecair (LPG) bermula 1 Mei ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi di bawah kerangka inisiatif ‘Kita Gempur’ itu bertujuan memastikan gas memasak bersubsidi tidak disalah guna oleh industri yang tidak layak atau diseludup ke luar negara.
“Sebagai langkah baharu bersempena Sambutan Hati Penguat Kuasa KPDN ke-53, kita melancarkan Ops GASAK 2025.
“Operasi ini akan digerakkan secara komprehnsif di seluruh negara melibatkan kerjasama pelabgai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata KPDN akan terus memperkukuh peranan penguatkuasaan melalui pendekatan yang bersasar, berasaskan data serta berorientasikan pendidikan pengguna dan peniaga termasuk meningkatkan kecaknaan dan partisipasi rakyat agar menjadi pengguna yang lebih berinformasi, bertanggungjawab dan dilindungi.
“KPDN menyeru seluruh rakyat untuk terus menjadi rakan strategik dalam membanteras salah laku perdagangan serta menyokong usaha kerajaan ke arah mewujudkan ekosistem perniagaan yang adil, mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata sebanyak 70,906 pemeriksaan telah dijalankan melalui Ops Pantau bersempena Hari Raya Aidilfitri pada 2 hingga 30 Mac lalu.
“Hasil pemeriksaan merekodkan sebanyak 390 kes melibatkan kesalahan utama seperti tidak mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan atau tamat tempoh.
“Pelaksanaan Ops Pantau 2025 dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa berhasil memastikan pematuhan para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati sekali gus membantu para pengguna untuk berbelanja pada harga munasabah,” katanya. – WILAYAHKU