KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan OPS CAMPUR bermula 10 Mac 2025 bagi menyiasat dakwaan pencampuran beras import dengan beras tempatan yang dikesan dalam pasaran.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, operasi ini digerakkan susulan laporan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) yang mendapati 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa mengandungi beras putih tempatan.
“OPS CAMPUR dilancarkan atas arahan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, selepas mengadakan perbincangan khas dengan MARDI.
“Matlamat utama adalah memastikan pengguna menerima beras berkualiti mengikut gred sebenar serta membanteras aktiviti tidak beretika dalam rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Azman, OPS CAMPUR memberi tumpuan kepada kilang dan syarikat pembungkus beras import bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap aktiviti pencampuran beras ini.
“Sehingga kini, KPDN telah memeriksa 113 premis, menghasilkan 48 kes dengan beberapa sampel disita untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan sampel yang direkodkan mencecah RM15,321.40 dan akan dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia serta MARDI,” katanya.

Menurut Azman, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730], khususnya di bawah Seksyen 5 berkaitan perihal dagangan palsu.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tiga tahun bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua, denda meningkat kepada RM250,000 atau penjara lima tahun.
“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan, denda maksimum ialah RM250,000 bagi kesalahan pertama, dan RM500,000 bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Azman berkata KPDN menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan sekiranya terdapat maklumat mengenai aktiviti pencampuran beras ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah menyalurkan aduan menerusi saluran rasmi aplikasi WhatsApp di talian, 019-848 8000; Portal e-aduan: [email protected]; talian aduan, 1-800-886-800 dan aplikasi Ez Adu KPDN.
“Kami menggesa pengguna untuk lebih peka dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan bagi memastikan ketelusan dalam industri beras negara,” tambah beliau.
Ujarnya, KPDN memberi jaminan bahawa OPS CAMPUR akan diperhebat bagi mengekang sebarang penyelewengan dalam rantaian bekalan beras serta melindungi hak pengguna di seluruh negara.-WILAYAHKU