KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 selama lima hari bermula 23 sehingga 27 Disember.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, 14 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, 14 barangan itu ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import daripada China dan Indonesia, lobak merah, cili merah, ubi kentang import China, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).
Selain itu, Armizan berkata empat lagi barangan yang turut terlibat dalam skim ini merupakan barangan yang dikawal di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan iaitu, kepak ayam, daging babi (lemak), daging babi (daging dan lemak) dan selain kawalan bekalan ayam tua hidup hanya dilakukan di Sarawak.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang medianya sempena pelancaran SHMMP Krismas 2024.
Sementara itu Armizan berkata, SHMMP Krismas 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.
Katanya harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Krismas 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
Menurut Armizan kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
Beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim itu.
Untuk rekod, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum di bawah AKHAP 2011 boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, atau kompaun RM50,000 bagi individu.
Manakala, syarikat pula boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Bagi kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 untuk individu sementara denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 akan dikenakan terhadap syarikat.
Dalam pada itu, Armizan berkata sempena dengan pengumuman SHMMP Krismas 2024 pada hari ini, beliau turut melancarkan pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas 2024.
Beliau berkata ini merupakan inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh KPDN bermula tahun ini untuk menganjurkan PJRM bagi setiap sambutan perayaan.
“Bagi PJRM Krismas tahun ini, sebanyak 670 PJRM dilaksanakan di seluruh negara khususnya di kawasan tumpuan masyarakat kita yang beragama Kristian yang menyambut Krismas,” katanya. – WILAYAHKU