KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan mengesahkan bekalan gula di pulau ini dalam situasi terkawal.
Pengarahnya, Junaidah Arbain berkata berdasarkan pemeriksaan dan kemudahan di kedua-dua stok penyimpanan sedia pemborong dan peruncit adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa.
Bagaimanapun pihaknya tidak menolak cabaran yang ada untuk memenuhi permintaan tinggi daripada orang ramai mahupun para peniaga.
“Berdasarkan rekod pemeriksaan yang dilaksanakan baru-baru ini, kita mendapati stok penyimpanan peniaga mempunyai 612 kilogram (kg) gula pasir kasar dan 112kg gula premium.
“Pemborong pula mempunyai 4,380kg gula pasir manakala gula premium sebanyak 1,440kg,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Junaidah, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan gula yang dibawa dari Tanah Besar Sabah akan sampai mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Berdasarkan tinjauan dan pemeriksaan, Labuan memerlukan hampir 120 tan gula bagi tempoh sebulan yang boleh menampung permintaan sekitar 100,000 orang.
“Untuk bekalan ini, kita mempunyai pembekal dari Sabah dan salah satunya ialah Sazarice Sabah manakala penghantaran akan mengikut jadual untuk memastikan bekalan gula berterusan kepada pengguna dan para peniaga,” katanya.
Mengulas lanjut, Junaidah turut memberikan jaminan bahawa pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan untuk memastikan isu bekalan dapat ditangani.
Justeru itu, KPDN sentiasa memberi penekanan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang pembelian panik kerana stok bekalan gula dalam keadaan terkawal. – WILAYAHKU