Berita

KPDN Labuan berjaya rampas 80,000 liter minyak diesel bernilai RM320,000

- Diterbit 5 Jun 2024 11:32 AM MYT

SEJUMLAH 80,000 liter disyaki minyak diesel bernilai RM320,000 berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menerusi Ops Tiris di sebuah jeti Jalan Merdeka, di sini semalam.

Menurut Pengarahnya, Junaidah Arbain, hasil serbuan tersebut pihaknya menemui sejumlah 80,000 liter diesel disimpan di empat buah tangki di atas kapal berkenaan.

“Hasil serbuan itu,seorang lelaki warga tempatan berumur 70 tahun yang dipercayai krew kapal berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas