Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

KPDN beri kelulusan serta merta permohonan SKDS

- Diterbit 23 Jun 2024 1:47 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberikan kelulusan sertamerta bagi permohonan lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan
barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata
permohonan tersebut boleh dibuat melalui pautan
https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta.

“Ia untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat-syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama.

“Proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera
melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Armizan berkaya syarikat-syarikat yang tersenarai dalam 33 jenis
pengangkutan darat awam dan barangan yang berkelayakan adalah disarankan membuat permohonan segera.

“Kelulusan yang diperolehi sehingga 30 Jun 2024 membolehkansyarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan,” katanya

Menurut Armizan, selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 12 Jun 2024, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai 2024 untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS sehingga 30 Jun 2024 sahaja.

“Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa terdekat.

Katanya, pada masa yang sama, KPDN ingin mengingatkan semua syarikat yang telah diluluskan SKDS agar tidak menyalahgunakan fleet card yang diberikan bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

“Sekiranya berlaku penyalahgunaan fleet card oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusan fleet card kenderaan terbabit,” katanya.

Menurut Armizan, setakat pukul 8 pagi, 23 Jun 2024, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

“KPDN juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian
dan agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kementerian juga ingin menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka,” katanya.

Tambah Armizan, KPDN telah menggerakkan semua kekuatan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di seluruh negara untuk terus memantau harga barang atau perkhidmatan di semua peringkat rantaian.

“Sekiranya didapati berlaku aktiviti pencatutan,maka KPDN akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Pada masa yang sama, KPDN turut menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh peniaga-peniaga yang beretika serta tidak melakukan
aktiviti pencatutan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya selari dengan penetapan harga baru diesel di pasaran,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas