Berita

Korea Selatan minat jalin kerjasama sektor pembinaan

- Diterbit 24 November 2024 7:52 AM MYT

KOREA Selatan menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia dalam sektor pembinaan infrastruktur terutamanya dalam aspek pembangunan dan pengurusan lebuh raya yang mengintegrasikan teknologi tinggi dan canggih.

Demikian dinyatakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sejurus selepas pertemuannya bersama Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, Park Sang-woo dalam mesyuarat dua hala di ibu negara, petang semalam.

Menurut beliau, hasrat untuk jalinan kerjasama itu disampaikan oleh Sang-woo dalam mesyuarat itu dan ia dilihat dapat memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang telah menjalinkan hubungan diplomatik yang sangat erat sejak 1960.

“Korea Selatan merupakan antara negara yang mempunyai kepakaran, teknologi dan reka bentuk jalan raya yang canggih serta berpengalaman luas dalam projek infrastruktur berskala besar.

“Dalam pertemuan itu, saya turut menyatakan harapan agar kerjasama yang bakal dimeterai dapat menjadi platform untuk kedua-dua negara melaksanakan pertukaran idea dan teknologi khususnya dalam pembinaan dan pengurusan lebuh raya di Malaysia, terutamanya dalam aspek keselamatan, kelestarian dan keberkesanan kos,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia melalui kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik dan efisien.

“Beliau (Sang-woo) juga menyatakan hasrat republik itu untuk memeterai kerjasama melalui satu memorandum persefahaman di antara kerajaan Korea Selatan dan Malaysia yang akan memberi fokus kepada kerjasama pembangunan lebuh raya pintar dan sistem pengurusan yang canggih.

“Kedua-dua negara juga bersetuju untuk meneroka kemungkinan pembangunan projek infrastruktur jalan raya mengguna pakai teknologi tinggi yang dapat memanfaatkan rakyat dan negara selaras dengan dasar pembangunan ekonomi dan infrastruktur Malaysia MADANI,” katanya.

Tambahnya, pada peringkat awal, kerjasama ini dijangka dimulakan dengan perbincangan dan rundingan lanjut antara pegawai-pegawai tinggi kedua-dua negara dalam masa terdekat dengan matlamat untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan diplomatik melalui sektor infrastruktur. – WILAYAHKU

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) ketika menerima kunjungan Park Sang-woo di Kementerian Kerja Raya di ibu negara semalam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas