KU SEMAN KU HUSSAIN
Wartawan Bebas
KEGIATAN seniman jalanan di Kuala Lumpur bermula awal tahun 1970-an dan kemuncaknya pada 1980-an. Ketika itu Kuala Lumpur muncul sebagai kota seniman jalanan seterusnya memberikan warna yang tersendiri pada bandar raya ini.
Pada tahun 1980-an misalnya, sudah menjadi satu kebiasaan apabila penyair mendeklamasikan puisi di tengah-tengah orang ramai, di bawah lampu jalan dan sekitar pasar malam di Kuala Lumpur. Masyarakat dapat menerima hal itu sebagai fenomena baharu yang unik itu sebagai suatu yang istimewa.
Fenomena seniman jalanan dicetuskan oleh aktivis teater dan penyair. Mereka mempelopori acara mendeklamasi puisi di laman awam yang terbuka, mengambil konsep penjual ubat di kaki lima dan menjadikan kegiatan ini satu bentuk persiapan untuk berdepan dengan penonton.
Kegiatan awal seniman jalanan dipelopori oleh penjual ubat, Khalid Salleh di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur tahun 1970- an. Bagaimanapun banyak yang mengenali Khalid sebagai pelakon dan penyair. Sebenarnya Khalid bermula sebagai penjual ubat di jalanan yang berjiwa seniman.
Malah kerana di jalanan juga Khalid mendapat kepercayaan daripada aktivis dan pensyarah teater Krishen Jit untuk berlakon dalam teater Bukan Bunuh Diri. Bermula dari situ Khalid terus menggilap bakat dan nama sebagai penyair dan pelakon. Akhirnya berjaya merangkul gelaran pelakon terbaik Asia di Festival Filem Asia Pasifik menerusi Filem Jogho.
Ketika memuncaknya kegiatan seniman jalanan, persembahan busking belum menjadi fenomena di Kuala Lumpur. Sebaliknya lebih pada acara mendeklamasi dan menyanyikan lagu-lagu puisi. Semua lagu yang dinyanyikan daripada puisi-puisi penyair ternama selain yang diciptakan sendiri.
Daripada kegiatan di jalanan yang memuncak ketika itu lahirlah kumpulan Kopratasa yang dianggotai oleh Sani Sudin, Sisi, Mohd Shah Ibrahim dan Usop. Bagaimanapun Mohd Shah lebih banyak berada di belakang tabir yang mendokong Kopratasa.
Suatu yang menarik tentang Kopratasa adalah muncul ketika dunia muzik dimonopoli sepenuhnya oleh lagu-lagu rock. Secara munasabahnya Kopratasa pasti ditelan gelombang rock yang besar itu. Rock di mana-mana. Bukan sahaja muzik malah fesyen rockers juga menjadi kegemaran anak-anak muda.
Kopratasa bermula sebagai seniman jalanan yang mendeklamasi puisi di tengah-tengah orang ramai dalam hiruk-pikuk Kuala Lumpur. Mereka bukan bintang pop yang sejak awal-awal lagi dibina kemilaunya melampaui keberadaan sebagai penyanyi.
Bayangkan ketika itu hampir setiap minggu ada album kumpulan muzik rock baharu di pasaran. Tetapi Kopratasa bukan kumpulan rock. Lagu-lagu mereka lebih bercorak balada dan sedikit tradisional. Semua lagu Kopratasa diangkat daripada puisi – sama ada ciptaan baharu atau puisi yang sudah lama mendunia dalam kesusasteraan Melayu.
Banyak juga yang menjenamakan lagu Kopratasa sebagai ‘lagu puisi.’ Ini sebenarnya suatu yang baharu dalam dunia muzik tempatan walaupun kumpulan Harmoni pimpinan Zubir Ali pernah memperkenalkan lagu-lagu bercorak demikian lebih awal 1980-an.
Salah sebuah lagu yang menjadi kegemaran ramai ketika itu ialah Penantian dengan ungkapan malar segarnya, “… penantian itu satu seksa yang tidak tertanggung.”
Malah beberapa lagu nyanyian kumpulan Alleycats yang seni katanya berbentuk puisi oleh S Amin Shahab. Antaranya Andainya Aku Pergi Dulu, Senyuman Kuala Lumpur, Nota Terakhir dan Hingga Akhir Nanti. Seni kata berbentuk puisi oleh S Amin Shahab terkeluar daripada kebiasaan lagu semasa ketika itu.
Akan tetapi selepas Harmoni tidak ada kumpulan lain yang meneruskan lagu-lagu bercorak demikian hinggalah muncul album pertama Kopratasa pada 1987. Percubaan Kopratasa telah menggegarkan industri muzik. Lagu seperti Tetamu Senja berdasarkan puisi karya Sasterawan Negara A Samad Said, Masihkah Kau Ingat (puisi Sani Sudin) dan Akhir Disember Ini (puisi Aziz HM) menjadi lagu popular.
Puisi Tetamu Senja ditulis pada tahun 1956 menjadi sangat popular selepas dinyanyikan oleh Kopratasa. Tetamu Senja menjadi sebuah lagu yang menjalar ke segenap lapisan masyarakat. Puisinya yang indah dan mudah difahami itu menjadikan Tetamu Senja cepat melekat di jiwa pendengar.
Sebenarnya ada yang menganggap puisi hanya sesuai kepada peminat sastera sahaja. Usaha Kopratasa adalah boleh dilihat sebagai membawa puisi ke segenap lapisan masyarakat – bukan peminat sastera semata-mata.
Hal itu terbukti berkesan apabila beberapa puisi karya A Samad Said, Latiff Mohidin, Siti Zaleha Hashim, JM Aziz, Usman Awang yang teranjak daripada lingkungan peminat sastera dan meluas hingga sampai kepada khalayak yang baharu.
Sani dan Siso adalah penyair dan pemain teater selain berkebolehan dalam bidang mencipta lagu. Usop pula yang ketika itu menyambung pengajian jurusan seni lukis dan seni reka di Institut Teknologi Mara (ITM) Dungun. Dia seorang pelukis yang boleh bermain muzik dan menulis puisi.
Maknanya ahli Kopratasa bukan sahaja penyanyi tetapi seniman yang menguasai bidang yang berkaitan dunia kesenimanan mereka. Ini meletakkan mereka sebagai pemikir yang peka melihat segala pergulatan dan mengadaptasi dalam karya seni. Sesetengah penyanyi lain hanya menyanyikan seni kata dan lagu yang diciptakan oleh orang lain.
Kopratasa tidak banyak beza dengan Khalid Salleh. Mereka terlalu rapat dengan denyut nadi dan pahit getir kehidupan manusia di Kuala Lumpur. Semua pengalaman dan pemerhatian itu dituangkan dalam puisi yang kemudiannya dilagukan.
Segala pengalaman di lorong dan jalan belakang bangunan pencakar langit adalah ilham yang memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai seniman. Malah tidak malu mengaku diri sebagai penyanyi jalanan kerana di situlah medan yang mematangkan dan mempertajamkan kesenimanan.
Hanya dengan sebuah gitar, lagu itu sejak awal lagi ada keindahan dan amat romantis. Bagaimanapun sisi romantis itu disampaikan dengan bait puisi, tidak seperti banyak lagu sezaman yang berterus terang hingga terasa mual untuk mendengarnya.
Lagu yang baik semestinya enak didengar dan seni katanya memberikan maksud selain keindahan seni bahasanya. Dalam hal ini Kopratasa mempunyai daya penghayatan yang tinggi apabila menghasilkan lagu-lagu yang sememangnya enak, ditambah pula seni kata diangkat daripada puisi yang teruji kekuatan dari segi bahasa dan pemikiran.
Kini selepas lebih tiga dekad, Kopratasa terus berada di tengah gelanggang, tidak pernah hilang atau tenggelam seperti yang dialami oleh banyak penyanyi atau kumpulan muzik yang lain. Ternyata karya seni yang dibawa oleh Kopratasa sentiasa relevan dengan zaman. – WILAYAHKU