THE A. Food Sdn Bhd yang merupakan pengendali rangkaian makanan dan minuman kopi di bawah Dosz Coffee mahu melebarkan sayap pembukaan cawangan di peringkat antarabangsa.
Pengarah Operasinya, Amir Faris Abdul Aziz berkata pihaknya sedang dalam perancangan bagi memperluaskan jenama Dosz Coffee ke luar negara dalam masa terdekat.
Menurut Amir Faris, pasukannya kini sedang meneliti beberapa aspek penting sebelum memuktamadkan keputusan dan negara seperti Singapura serta Australia merupakan antara pilihan destinasi.
“Setakat ini, memang kami ada perancangan untuk membuka beberapa cawangan di peringkat antarabangsa, namun beberapa faktor perlu diambil kira sebelum memuktamad keputusan.
“Kami kena fikir beberapa faktor penting antaranya daripada segi pasaran di sana, tempat-tempat hot spot yang perlu kita ambil maklum.
“Kami bukannya hanya mahu sekadar membuka tetapi hendak membina tapak untuk terus mengembangkan jenama Dosz Coffee ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pembukaan Dosz Coffee cawangan Menara BT di Bangsar South, baru-baru ini.
Jelas Amir Faris, beliau yakin bahawa jenama Dosz Coffee yang juga merupakan jenama usahawan tempatan dapat menarik hati penggemar-penggemar kopi di luar negara.
“Kami amat yakin dengan hasil produk yang dikeluarkan mampu untuk menarik penggemar-penggemar atau pencinta-pencinta kopi dengan aroma serta keunikan rasa kopi kami.
“Dosz Coffee selaku jenama tempatan mampu bersaing berkembang lebih jauh setanding dengan produk-produk kopi luar negara.
“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, walau bagaimanapun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Sementara itu, Amir turut menyatakan setakat hari ini, Dosz Coffee mempunyai kira-kira 11 cawangan di seluruh negara.
Tambahnya, pasukannya bercadang untuk mempunyai anggaran sekitar 25 hingga 30 cawangan di seluruh negara pada tahun ini.
“Kami bercadang pada akhir tahun ini, untuk mempunyai sekitar 25 ke 30 cawangan Dosz Coffee di seluruh negara.
“Kami memang ada perancangan untuk mengembangkan jenama ini lagi memandangkan orang ramai, juga menerima jenama kopi kami.
Katanya, antara cawangan Dosz Coffee selain Menara BT ialah di Tower 3, Avenue 7, Bangsar South, Wisma Consplant, Bangunan MCMC, serta TRX.
Dalam pada itu, Amir Faris menyatakan sejak beroperasi Dosz Coffee menumpukan perhatian kepada pelanggan dalam kalangan pekerja pejabat.
Walau bagaimanapun, tegasnya, pada suku ketiga tahun ini, jenama kopi tempatan itu akan mengembangkan outlet di beberapa buah stesen minyak di seluruh negara.
“Kami baru selesai menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat stesen minyak terkemuka di Malaysia dan sedang membuat persiapan terakhir dari segi logistik dan kelengkapan bagi memastikan cawangan ini dibuka mengikut tarikh ditetapkan.
“Menerusi inisiatif ini, pelan perancangan strategik lima tahun Dosz Coffee yang menyasarkan pembukaan 100 cawangan menjelang 2029 dapat dicapai,” ujarnya. – WILAYAHKU