Oleh DIANA AMIR
Foto oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh HASIF HALIM
SENI tufting tidak lagi asing di Malaysia di mana kebanyakan bengkel sudah mula menawarkan pengalaman buat mereka yang ingin mencuba aktiviti tersebut buat pertama kali.
Di Kuala Lumpur misalnya, kebanyakan bengkel adalah berkonsepkan indoor atau terletak di mana-mana bangunan berhawa dingin namun berlainan pula dengan bengkel Kopi dan Benang yang menawarkan pengalaman tufting berlatarbelakangkan klasik Melayu.
Menurut pemiliknya, Shahanshah Qaf Hussain, 27, idea tersebut tercetus kerana dia dan keluarga mempunyai minat yang mendalam terhadap konsep klasik tersebut.
“Aktiviti ini sedang popular di Malayia, saya pernah ingin menyertai aktiviti ini namun agak sukar kerana sering penuh maka daripada situ timbulnya idea untuk mewujudkan bengkel sendiri,” katanya kepada Wilayahku.
Berkongsi mengenai aktiviti tufting yang ditawarkan, Shahanshah berkata meskipun berkonsepkan klasik namun rekaan yang ditawarkan adalah moden dan mudah.
“Apa yang penting semua corak atau bentuk yang disediakan senang buat mereka yang baru pertama kali melakukan aktiviti tufting. Lagi pula ia mudah dipelajari kerana ia tidak memerlukan sebarang teknik tertentu. Hanya menggunakan pistol, benang dan sedikit tenaga untuk menyiapkannya,” ujarnya pelanggan juga boleh menghasilkan corak sendiri namun ia perlu ditapis oleh staf terlebih dahulu sama ada ia mudah atau tidak untuk disiapkan.
Shahanshah berkata, setiap pelanggan akan diberi tunjuk ajar bermula daripada peringkat memasukkan benang sehingga tufting namun untuk peringkat akhir ia akan dilakukan oleh kakitangan sendiri.
“Untuk proses akhir seperti trimming dan tampalan fabrik, ia akan dilakukan oleh kita sendiri kerana bau bahan kimia yang akan digunakan untuk proses tersebut terlalu kuat. Tambahan pula, kita juga beroperasi sebagai sebuah kafe jadi ia tidak sesuai,” jelasnya kebiasaannya pelanggan boleh mendapatkan hasil mereka selepas seminggu secara penghantaran atau pick up di kedainya.
Tambahnya lagi, kebiasaannya pelanggan akan meluangkan masa dua sehingga tiga jam bagi menyiapkan satu rekaan dan ia boleh memakan masa sehingga tujuh jam bagi corak yang sukar.
“Pemilihan benang juga memainkan peranan di mana tufting menggunakan benang yang lebih tebal berbanding benang kait yang halus dan penghasilannya juga tidaklah terhad kepada karpet sahaja.

“Saya pernah lihat ada pelanggan yang buat dan tampalkannya di sofa, bantal, dinding dan banyak lagi. Mereka tidak akan jadikannya sebagai karpet kerana sayang untuk dipijak,” katanya harga tufting berrmula RM89 untuk saiz 40cm manakala RM99 (50cm) dan tiga bingkai boleh berjalan serentak dalam satu-satu masa.
Berkongsi mengenai perancangan akan datang, Shahanshah berkata mereka dalam proses untuk membuka satu lagi cawangan di Perlis di mana ia akan dikelilingi sawah padi dengan menggunakan konsep sama iaitu klasik Melayu.
“Untuk di Kuala Lumpur kita dalam perancangan untuk melakukan aktiviti tufting outdoor yang dijalankan di bahagian luar kafe Kopi dan Benang ini sama seperti aktiviti canting batik,” jelasnya rata-rata maklum balas yang diterima adalah positif.
SARAPAN PAGI, MAKAN MALAM ALA 90-AN
TURUT beroperasi sebagai sebuah kafe, Shahanshah berkata uniknya di Kopi dan Benang adalah pengunjung boleh melakukan aktiviti sambil minum kopi dan menjamu selera.
“Kebiasaannya kita terima pelanggan yang ramai di sebelah pagi di mana mereka berpeluang menjamu selera dengan vibes klasik serta makanan melayu seperti lodeh, nasi lemak dan sebagainya.
“Di sebelah malam pula kita menawarkan menu barat seperti pasta, english breakfast, sup cendawan serta pelbagai lagi pilihan,” ujarnya.
Shahanshah turut berharap agar warga kota khususnya beramai-ramai hadir bagi merasai pengalaman melakukan aktiviti tufting dan mencanting batik berkonsepkan klasik Melayu. – WILAYAHKU
INFO
Alamat: 24, Jalan AU2C/2, Taman Desa Keramat, 54200 Kuala Lumpur
Waktu Operasi:
Sabtu dan Ahad sahaja
Sarapan pagi: 7.30 hingga 11 pagi
Bengkel: 12 tengah hari hingga 11 malam
Makan malam: 6 petang hingga 11 malam
Hubungi: 017-377 9919
Instgram: @kopidanbenang_
TikTok: @kopidanbenang